Konsep rekabentuk Masjid Sultan Suleiman di Bandar DiRaja Klang agak berlainan dari mana-mana masjid yang ada di negeri Selangor mahupun di Malaysia. Daripada hasil bacaan buku-buku sejarah Malaysia, ada yang mengatakan Masjid Sultan Suleiman mempunyai pengaruh campuran senibina Islam Moorish dan senibina Inggeris.
Ada pula yang mengatakan Masjid Sultan Suleiman berkonsepkan Art Deco kerana elemen dekoratif yang minima digunapakai di sini. Penggunaan geometri yang mudah pada pelan masjid juga menjurus kepada Art Deco.
Masih terdapat unsur-unsur klasikal terutama pada tiang, namun ianya agak minimal. Kubah masjid berbentuk separuh bulatan (separa hemisfera) berwarna kuning telur (tidak keemasan). Kubah besar ruang solat utama dikelilingi oleh beberapa kubah yang lebih kecil.
Terdapat 8 menara kecil disekeliling masjid dan satu menara besar lagi tinggi dibahagian tengah laluan masuk dari anjung utama. Menara ini juga dihiasi dengan kubah kuning di puncaknya.
Arkitek yang merekabentuk masjid ini ialah L.Keste Vend. Masjid ini boleh menampung lebihkurang 1000 jemaah dalam satu masa.
Lihat senibina bangunan di sebelah (Kansas City Power and Light Building di USA) yang dibina pada tahun 1931, mempunyai persamaan senibina - Art Deco - dengan menara Masjid Sultan Suleiman yang dibina pada tahun yang sama.
Masjid Sultan Suleiman yang ada sekarang ini telahpun melalui beberapa proses pengubahsuaian dalaman dan di kawasan `courtyard' bangunan asal. Rekabentuk asalnya bagaikan sebuah palang seperti yang selalu digunapakai dalam pelan gereja-gereja di Eropah. Namun sekarang bentuk Masjid Sultan Suleiman sudah kelihatan seperti segi empat.
Ruang solat utama Masjid Sultan Suleiman berbentuk oktagon (segi lapan) di bahagian bawah dan mula bertukar ke bentuk bulat pada aras 10 meter. Sebelah dalam kubah utama boleh dinaiki kerana ianya mempunyai dua aras seperti balkoni. Aras keduanya boleh diakses dengan `catladder'. Ada satu lapisan kerangka besi dekoratif dibawah kubah digunakan untuk menyokong `gelas warna' yang disusun ber`pattern'. Gambar di bawah menunjukkan bahagian kubah dari pandangan dalam ruang solat Masjid Sultan Suleiman.
Dongak ke atas dan anda dapat dilihat dengan jelas kaca-kaca gelas berwarna-warni di puncak kubah utama. Adanya gelas-gelas kaca ini memberikan sinar ke dalam ruang dalaman masjid. Apabila cahaya matahari menembusi kubah terutamanya ketika waktu tengahari, kilauan warna-warni akan terpancar di atas lantai ruang solat. Ianya memberi satu impak yang amat menarik.
Serambi asal Masjid Sultan Suleiman juga berbentuk oktagon. Dari ruang solat utama ianya dicabangkan ke empat arah - mihrab, anjung masuk sisi kanan, anjung masuk utama dan ke tempat wuduk di sisi kiri, berdekatan dengan Makam Diraja.
Tempat wuduk nya adalah yang asal, tetapi kolah wuduk telahpun diubahsuai. Kolah yang asal berada pada aras tanah. Kolah sekarang telah dinaikkan keparas 600mm dan disediakan pili air.
Pintu pagar besi dekoratif di setiap laluan masuk ber`arch' adalah yang asal.
Lantai asal Masjid Sultan Suleiman disudahi dengan marmar putih dengan kambi (skirting) marmar setinggi 400mm. Sayang sekali ianya telah ditutupi dengan jubin baru
Mihrab Masjid Sultan Suleiman telah diubahsuai. Mihrab asal berlantaikan marmar dan mempunyai pancaran cahaya lampu dari lantai tersebut. Sekarang ini, seperti semua masjid-masjid di Malaysia, ruang solat utama Masjid Sultan Suleiman sehingga ke mihrab disudahi dengan permaidani. Dinding mihrab disaluti dengan plaster gypsum dekoratif . Mimbar kayu keras dengan susur tembaga asli dekoratif adalah yang asal.
0 comments:
Post a Comment